6/12/2011-Selasa : Baru-baru ini diberitakan ahli-ahli Jawatankuasa Ketua Ketua Peneroka (JKKP) telah disogok dengan telefon bimbit dan i-pad. Mereka dipercayai disogok oleh pihak pengurusan Felda dengan niat agar mereka menentang hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk melancarkan Felda Global Venture Holding.
Konspirasi ini didalangi oleh Dato Zulkifli Abdul Wahab selaku DG Felda melalui Encik Shamsuddin Othman selaku pemimpin Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Felda, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan yang juga Naib Pengerusi JKPP Wilayah Johor Bahru. Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dipimpin oleh Encik Mazlan Aliman turut melahirkan sokongan terhadap pergerakan tersebut.
Persoalan yang timbul, apakah peranan sebenar Felda terhadap peneroka ? Adakah Felda diwujudkan untuk mengekalkan cengkaman pihak tertentu terhadap peneroka ? Adakah Felda telah memainkan peranan yang betul sebagai jambatan di antara aspirasi kerajaan dan peneroka ? Adakah Felda benar-benar berpihak kepada peneroka dan ikhlas di dalam usaha untuk memaju dan melepaskan peneroka daripada belenggu keterbergantungan kepada bantuan kerajaan selama-lamanya ?
Rakyat tidak memandang penting isu Felda kerana mereka tidak tahu apa yang ada disebalik Felda. Felda sebenarnya merupakan entiti perniagaan terkaya di Malaysia dan yang paling berjaya di dunia di dalam kategori perladangan berkelompok. Kekayaan Felda dianggarkan sekitar 25% daripada aliran tunai dan aset di dalam negara malah ia ada hampir di dalam kebanyakkan syarikat-syarikat gergasi di Malaysia dari pelbagai sektor di dalam bentuk pelaburan mahupun komoditi.
Seandainya Felda lumpuh, berkemungkinan besar ekonomi Malaysia akan terjejas teruk dan ia akan menghasilkan kesan risiko berantai terhadap sistem ekonomi. Fakta yang harus diketahui berkenaan Felda ialah ia terdiri daripada dua entiti yang berbeza iaitu peneroka dan Koperasi Permodalan Felda (KPF). Peneroka ialah pemilik tanah-tanah rancangan manakala KPF ialah koperasi yang dikuasai oleh peneroka bagi menguruskan aset-aset Felda.
Ramai orang menyangka bahawa tanah-tanah rancangan adalah milik Felda namun sangkaan itu adalah salah. Sebenarnya, Felda hanya menguruskan Syarikat Felda Plantation yang merupakan ladang Felda bukan milik peneroka. Peneroka pula memiliki dan menguruskan tanah-tanah rancangan Felda.
Apakah kemelut yang sedang melanda Felda, peneroka dan kerajaan sekarang ? Sebenarnya, ramai peneroka dikelirukan di antara peranan Felda dan kerajaan. Sebenarnya Felda dan kerajaan adalah dua badan yang berbeza. Felda bukanlah kerajaan dan kerajaan bukan juga Felda. Bila berlaku pergolakan di dalam Felda, peneroka dipesongkan pemikiran untuk melihat kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab sedangkan langkah-langkah dan aspirasi kerajaan pula tidak dirujuk sebagai peranan dan tanggungjawab Felda.
Apabila peneroka merasa tertipu oleh pengurusan Felda, mereka menyaman Felda tetapi ia dicerminkan sebagai kegagalan oleh Kerajaan Persekutuan. Di sini kita melihat bagaimana liciknya Felda memperisaikan kesalahan mereka disebalik Kerajaan Persekutuan dan betapa tidak bijaknya Kerajaan Persekutuan kerana akur dengan kelemahan urus tadbir Felda.
Felda sewajarnya memainkan peranan sebagai unit perniagaan dan bukan badan politik. Felda harus menguruskan kebajikan peneroka seperti masalah tekanan air yang seringkali terganggu kerana kebanyakkan tanah-tanah rancangan terletak di kawasan berbukit-bukau, masalah sosial yang wujud berpunca dari keterpencilan tanah-tanah rancangan daripada pembangunan sosial semasa, masalah infrastruktur seperti jalan raya yang licin yang sering menyebabkan berlakunya kemalangan kerana tumpahan minyak kelapa sawit ketika proses mengangkut dari kilang ke kilang-kilang pemprosesan selanjutnya dan banyak lagi. Sekiranya kebajikan peneroka terjaga, Felda akan meraih keuntungan yang lebih di dalam perniagaannya.
Pengurusan Felda telah terlalu lemak kerana kurangnya pemantauan oleh kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kegiatan mengaut keuntungan untuk kepentingan peribadi berleluasa. Mereka menguasai sebahagian besar syarikat-syarikat yang ada di dalam KPF serta menjadikan ia lebih buruk dari isu National Feedlot Corporation (NFC). Namun, ia tidak disiasat kerana tiada tokoh politik di dalamnya yang berkepentingan untuk dijatuhkan seumpama Shahrizat.
Oleh kerana kegagalan Felda menguruskan peneroka dengan baik ekoran bilangan saman oleh peneroka yang semakin galak kebelakangan ini, kerajaan memutuskan untuk menempatkan wakil politik yang tidak mempunyai kuasa eksekutif bagi membantu peneroka. Langkah ini juga dilihat sebagai satu langkah ke hadapan bagi mengiktiraf peneroka sebagai masyarakat yang berdikari dan setara dengan masyarakat konvensional.
Tindakan kerajaan dilihat sebagai ancaman kepada pengurusan Felda yang sudah terbiasa menjadi raja merakyatkan peneroka. Kini, mereka sanggup bermati-matian menentang selain mengancam untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan sekiranya kuasa mereka ditarik. Adakah ini yang kita harapkan daripada orang biasa yang telah kita tabalkan sebagai pemangku amanah di dalam membimbing peneroka ke arah masyarakat pemilik tanah di Malaysia ?
Sekiranya isu ini berlarutan dan peneroka terus hanyut dengan dakyah songsang pengurusan Felda, Felda pasti akan jahanam dan hancur lebur dimusnahkan oleh pengurusan Felda. Bersamalah kita masyarakat peneroka menolak kerakusan pengurusan Felda yang tidak tahu bersyukur malah berterusan ingin memperhambakan golongan peneroka.
artikel ini menarik.. gua dah bookmarks dan follow blog anda.
ReplyDeleteterima kasih...
Delete